Konsepnya sama, pendekatannya mungkin berbeza, lompat tetap lompat

Konsepnya sama, pendekatannya mungkinnya berbeza, lompat tetap lompat, itulah yang dapat diibaratkan kepada dua pihak iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Saya mengatakan demikian kerana apabila berlaku lompat parti ahli Pakatan Rakyat ke Barisan Nasional hingga tumbangnya Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, kedengaran ahli – ahli dan pemimpin – pemimpin politik dari Pakatan Rakyat mengatakan yang cara begini adalah tidak demokratik, tidak bermoral dan tidak bermaruah. Ungkapan begini juga yang dilontarkan oleh ahli dan pemimpin – pemimpin parti Barisan Nasional apabila Dato Seri Anwar melaungkan projek 16 Sept nya tempoh hari.

Walaupun saya dari penyokong Pakatan Rakyat, tetapi saya tidak bersetuju dengan kenyataan – kenyataan seperti tidak demokratik, tidak bermoral, tidak bermaruah dan pelbagai lagi yang dilontarkan kepada Barisan Nasional apabila berjaya merampas kuasa di Perak. Ini akan menyebabkan rakyat akan mengatakan Pakatan Rakyat itu cakap tidak serupa bikin, kerana sebelum tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, Pakatan Rakyat dilihat bersetuju dengan tindakan lompat parti ini dan apabila tumbang kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak kelihatan mereka menghina perbuatan lompat parti ini yang dahulunya mereka restui.

Pada hari ini Barisan Nasional yang dahulunya melihat perbuatan lompat parti ini begitu keji kini telah menyukai dan merestui perbuatan lompat parti ini dengan gembira sekali. Jika Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan mana – mana kerajaan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional atau merampas kerajaan persekutuan dengan cara lompat parti, pastinya Barisan Nasional akan menyuarakan perkara yang serupa seperti mana yang sedang disuarakan oleh ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat hari ini.

Hakikat dan realitinya kedua – dua pihak baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat menyukai dan menggemari akan perkara lompat parti ini asalkan ianya memihak atau membawa keuntungan kepada mereka dan jika tidak mereka tidak akan bersetuju dan melihat perbuatan melompat ini sebagai sesuatu yang keji. Itulah sifat manusia.

Oleh itu ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat tidak boleh terlalu melatah apabila tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dengan cara melompat parti yang diusahakan oleh Umno/Barisan Nasional, dengan secara terbuka mengatakan melompat parti adalah suatu perbuatan yang tidak bermaruah, tidak bermoral, tidak demokratik dan sebagainya lagi.

Perkara lompat parti ini jelas direstui oleh Barisan Nasional atau pun Pakatan Rakyat dan ini bukan rahsia lagi.

Perkara tidak bermoral, tidak bermaruah, tidak demokratik dan lain – lain lagi tidak timbul dalam isu lompat parti dalam konteks politik Malaysia sekarang ini. Yang lompat itu tetap lompat. Malahan di negara luar yang tahap demokrasinya lebih tinggi dan baik berbanding Malaysia pun perkara lompat parti ini tetap berlaku.

Dalam hal yang berlaku dalam politik Malaysia sekarang ini amnya dan Perak khasnya, konsepnya adalah “lompat Parti”. Baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat konsepnya adalah sama iaitu mahukan ahli dari parti lawan melompat masuk ke parti mereka. Perkara ini jelas, dan mana – mana pihak yang cuba menafikan konsep ini tidak ubah seperti meludah ke langi,t baik Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, cuma yang berbeza adalah pendekatan yang digunapakai oleh kedua – dua parti politik ini dalam perbuatan lompat parti ini.

Isu moral, isu maruah, isu demokratik atau tidak bukan terletak pada perkara konsepnya iaitu lompat parti, tetapi terletak pada pendekatan yang digunapakai untuk melompat parti tersebut.

Jika pendekatan seperti rasuah, ugutan, ancaman dan sebagainya lagi digunapakai untuk membolehkan berlakunya lompat parti, maka inilah perkara yang digelar sebagai tidak bermoral, tidak bermaruah, tidak demokratik dan hina. Sebaliknya jika pendekatan seperti pembuktian, penjelasan dan kesedaran politik oleh ahli politik itu sendiri digunapakai dalam melompat parti, maka isu moral, maruah, demokratik atau tidak itu tidak akan timbul. Ini kerana dalam perlembagaan negara jelas menyatakan yang setiap warganegara itu bebas untuk memilih atau menyertai mana – mana pertubuhan atau parti politik.

Oleh itu Pakatan Rakyat tidak wajar terlalu melatah dengan isu lompat parti ini kerana itu juga yang dimahukan oleh Pakatan Rakyat asalkan pendekatannya biarlah berhemah. Walaupun tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak melalui pendekatan yang tidak bermoral dan tidak demokratik yang digunapakai dalam perbuatan melompat parti, Pakatan Rakyat tidak boleh terlalu meracau dan melatah kerana “game lompat parti” ini Pakatan Rakyat yang memulakan dahulu secara terbuka dan Pakatan Rakyat perlu terus lawan dan tetap lawan dalam pertarungan ini. Barisan Nasional mungkin bermain kotor dalam “game lompat parti” ini tetapi itu bukan alasannya untuk terus mengaku kalah.

p/s Maradona pernah menjaringkan Gol menggunakan tangan sewaktu perlawanan bola sepak piala dunia. Golnya itu tetap dikira, kerana konsepnya dalam perlawanan bola sepak adalah Gol, walaupun pendekatan yang digunapakai oleh Maradona itu adalah tidak sah, mungkin kerana pengadil yang telah dirasuah.

3 Responses to “Konsepnya sama, pendekatannya mungkin berbeza, lompat tetap lompat”

  1. Sayang Malaysia Says:

    Lompat sikatak lompat…..
    Lompat lah tinggi tingi….

    Lompat lah ke mana saja kau nak lompat…..
    Jangan masuk DAP sudah….

    Politik tetap kotor, busuk……

  2. Sayang Malaysia Says:

    Kita sama melayu berbalah pasal politik nak kaya.. nak kuasa… yg bangsa lain tepuk tangan sambil hisap rokok minum todi… Kalo dah sultan yang kita pertahan kan selama wujud nye bumi melayu ni dah di pertikai dan dihina…. Aku cabar korang kuar dari MALAYSIA…. MALAYSIA ADALAH NEGARA YANG BERDAULAT…..

  3. Azlan Says:

    Ha..ha.. setuju dengan anda 100%. Walaupun saya penyokong PAS, tapi saya nampak dalam bab lompat parti ni, dua-dua pihak pun sama saje.

    Apa pun, situasi kat Perak ni ibarat gajah sama gajah bertarung, pelanduk mati di tengah-tengah. Pemimpin parti gilakan kuasa, rakyat Perak pulak jadi mangsa.

    Apa pun, saya rasa satu-satunya cara untuk kembalikan kestabilan politik di Perak ialah dengan pilihan raya sekali lagi.

    Jika tak MB Nizar dari Pakatan tak puas hati dan tak nak berundur. Begitu juga Zambry dari BN. Mengundi sekali lagi, kalah atau menang, dua-dua pihak puas hati..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: