Archive for February, 2009

Konsepnya sama, pendekatannya mungkin berbeza, lompat tetap lompat

February 6, 2009

Konsepnya sama, pendekatannya mungkinnya berbeza, lompat tetap lompat, itulah yang dapat diibaratkan kepada dua pihak iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Saya mengatakan demikian kerana apabila berlaku lompat parti ahli Pakatan Rakyat ke Barisan Nasional hingga tumbangnya Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, kedengaran ahli – ahli dan pemimpin – pemimpin politik dari Pakatan Rakyat mengatakan yang cara begini adalah tidak demokratik, tidak bermoral dan tidak bermaruah. Ungkapan begini juga yang dilontarkan oleh ahli dan pemimpin – pemimpin parti Barisan Nasional apabila Dato Seri Anwar melaungkan projek 16 Sept nya tempoh hari.

Walaupun saya dari penyokong Pakatan Rakyat, tetapi saya tidak bersetuju dengan kenyataan – kenyataan seperti tidak demokratik, tidak bermoral, tidak bermaruah dan pelbagai lagi yang dilontarkan kepada Barisan Nasional apabila berjaya merampas kuasa di Perak. Ini akan menyebabkan rakyat akan mengatakan Pakatan Rakyat itu cakap tidak serupa bikin, kerana sebelum tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, Pakatan Rakyat dilihat bersetuju dengan tindakan lompat parti ini dan apabila tumbang kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak kelihatan mereka menghina perbuatan lompat parti ini yang dahulunya mereka restui.

Pada hari ini Barisan Nasional yang dahulunya melihat perbuatan lompat parti ini begitu keji kini telah menyukai dan merestui perbuatan lompat parti ini dengan gembira sekali. Jika Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan mana – mana kerajaan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional atau merampas kerajaan persekutuan dengan cara lompat parti, pastinya Barisan Nasional akan menyuarakan perkara yang serupa seperti mana yang sedang disuarakan oleh ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat hari ini.

Hakikat dan realitinya kedua – dua pihak baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat menyukai dan menggemari akan perkara lompat parti ini asalkan ianya memihak atau membawa keuntungan kepada mereka dan jika tidak mereka tidak akan bersetuju dan melihat perbuatan melompat ini sebagai sesuatu yang keji. Itulah sifat manusia.

Oleh itu ahli dan pemimpin Pakatan Rakyat tidak boleh terlalu melatah apabila tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dengan cara melompat parti yang diusahakan oleh Umno/Barisan Nasional, dengan secara terbuka mengatakan melompat parti adalah suatu perbuatan yang tidak bermaruah, tidak bermoral, tidak demokratik dan sebagainya lagi.

Perkara lompat parti ini jelas direstui oleh Barisan Nasional atau pun Pakatan Rakyat dan ini bukan rahsia lagi.

Perkara tidak bermoral, tidak bermaruah, tidak demokratik dan lain – lain lagi tidak timbul dalam isu lompat parti dalam konteks politik Malaysia sekarang ini. Yang lompat itu tetap lompat. Malahan di negara luar yang tahap demokrasinya lebih tinggi dan baik berbanding Malaysia pun perkara lompat parti ini tetap berlaku.

Dalam hal yang berlaku dalam politik Malaysia sekarang ini amnya dan Perak khasnya, konsepnya adalah “lompat Parti”. Baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat konsepnya adalah sama iaitu mahukan ahli dari parti lawan melompat masuk ke parti mereka. Perkara ini jelas, dan mana – mana pihak yang cuba menafikan konsep ini tidak ubah seperti meludah ke langi,t baik Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, cuma yang berbeza adalah pendekatan yang digunapakai oleh kedua – dua parti politik ini dalam perbuatan lompat parti ini.

Isu moral, isu maruah, isu demokratik atau tidak bukan terletak pada perkara konsepnya iaitu lompat parti, tetapi terletak pada pendekatan yang digunapakai untuk melompat parti tersebut.

Jika pendekatan seperti rasuah, ugutan, ancaman dan sebagainya lagi digunapakai untuk membolehkan berlakunya lompat parti, maka inilah perkara yang digelar sebagai tidak bermoral, tidak bermaruah, tidak demokratik dan hina. Sebaliknya jika pendekatan seperti pembuktian, penjelasan dan kesedaran politik oleh ahli politik itu sendiri digunapakai dalam melompat parti, maka isu moral, maruah, demokratik atau tidak itu tidak akan timbul. Ini kerana dalam perlembagaan negara jelas menyatakan yang setiap warganegara itu bebas untuk memilih atau menyertai mana – mana pertubuhan atau parti politik.

Oleh itu Pakatan Rakyat tidak wajar terlalu melatah dengan isu lompat parti ini kerana itu juga yang dimahukan oleh Pakatan Rakyat asalkan pendekatannya biarlah berhemah. Walaupun tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak melalui pendekatan yang tidak bermoral dan tidak demokratik yang digunapakai dalam perbuatan melompat parti, Pakatan Rakyat tidak boleh terlalu meracau dan melatah kerana “game lompat parti” ini Pakatan Rakyat yang memulakan dahulu secara terbuka dan Pakatan Rakyat perlu terus lawan dan tetap lawan dalam pertarungan ini. Barisan Nasional mungkin bermain kotor dalam “game lompat parti” ini tetapi itu bukan alasannya untuk terus mengaku kalah.

p/s Maradona pernah menjaringkan Gol menggunakan tangan sewaktu perlawanan bola sepak piala dunia. Golnya itu tetap dikira, kerana konsepnya dalam perlawanan bola sepak adalah Gol, walaupun pendekatan yang digunapakai oleh Maradona itu adalah tidak sah, mungkin kerana pengadil yang telah dirasuah.

Advertisements

Pyrrhic victory BN di Perak

February 6, 2009

Mari kita panjangkan renungan, jauh sehingga ke tahun 280 SM. Raja Pyrrhus dari Epirus menumpas tentera Romawi dalam dua pertempuran. Raja Pyrrhus amat gembira dengan kemenangan itu. Tetapi apabila dilaporkan begitu ramai tenteranya yang mati untuk mendapat kemenangan tersebut raja itu berkata: “Sekali lagi kita mendapat kemenangan seperti ini kita akan musnah.”

Bedanya antara Raja Pyrrhus dengan Najib adalah, raja itu tahu bagaimana bahayanya kemenangnya, tetapi Najib melihatnya sebagai kemenangan besar Umno. Timbalan perdana menteri itu tidak pernah belajar dan tidak mahu belajar.

Penyokong-penyokong Pakatan Rakyat tentunya patah hati semalam, hari ini dan beberapa hari yang akan datang. Kepada mereka yang bersifat begitu belajarlah dari semangat tentera Romawi. Sebenarnya jumlah tentera Romawi lebih ramai yang gugur dari tentera Pyrrhus. Mereka tidak putus harapan. Sejahrawan Plutarch mengulas: “not at all abating in courage for the loss they sustained, but even from their very anger gaining new force and resolution to go on with the war…Romans lost more men than Pyrrhus did. However, the Romans had a much larger supply of men from which to draw soldiers, so their losses did less damage to their war effort than Pyrrhus’s losses did to his.”

Renung juga dialog antara Abu Sufyan dengan Herkules, gabenor Rom di Syria. Herkules menerima surat dari Nabi Muhammad s.a.w. Herkules memanggil Abu Sufyan untuk mendapat maklumat tentang agama yang gerakan yang dibawa oleh Rasulullah.

Herkules: Adakah pengikutnya dari kalangan orang kaya atau orang miskin.

Abu Sufyan: Orang miskin.

Herkules: Adakah pengikutnya bertambah atau berkurangan?

Abu Sufyan: Bertambah

Herkules: Bagaimana perang antara kamu dengan dia?

Abu Sufyan: Ada kala kami menang, ada kala dia.

Kita tidak akan menang dalam setiap pertempuran, tetapi insya Allah, kita akan dapat kemenangan keseluruhan. Rasulullah menang dalam perang Badar, tewas dalam perang Uhud, tidak menang dan tidak kalah dalam perang Khandak. Tetapi dalam kalah dan menang dalam pertempuran jumlah yang menyertai Islam terus bertambah. Pakatan Rakyat menang besar dalam PRU12, menang besar di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Semua kemenangan ini dengan dokongan rakyat.

Apakah BN menang di Perak? BN dapat sebuah negeri tetapi akan kehilangan lebih besar sokongan dari rakyat kerana taktik kotor yang dipakai -ugutan dan habuan. Kemenangannya adalah satu Pyrrhic victory, atau lebih kosong dari itu.

Rakyat mengajar BN pada 8 Mac yang lalu dengan menafikan majoriti 2/3 dan lima kerajaan negeri. Akuilah, sebahagian rakyat yang mengundi PR bukan kerana mereka percaya kepada PKR, DAP atau Pas. Mereka ingin mengajar Umno agar jangan sombong. Mereka berharap dengan tamparan tersebut mereka akan belajar dan melakukan perubahan.

Apa yang berlaku di Perak jelas bahawa mereka tidak mahu belajar. Mereka hanya mahukan kuasa. Sedangkan rakyat mahu Umno-BN berubah dan kalau mereka berubah dan mengambil iktibar rakyat akan mengembalikan keyakinannya. Sekarang jelas Umno tidak menerima keputusan rakyat dan tidak mahu belajar seperti yang dikehendaki oleh rakyat.

Mereka hanya mahukan kuasa dengan apa cara sekalipun. Apakah yang perlu dilakukan oleh PR di Perak? Sekarang mereka tidak lagi dibebankan dengan urusan pentadbiran mereka perlu sepenuh masa bersama rakyat. Kuasa muktamat adalah ditangan rakyat. Cek Umno hanya boleh membeli beberapa orang pemimpin dan ugutannya hanya boleh menakutkan pemimpin yang berjiwa kerdil. Insya Allah, kemenangan itu hampir.

Sumber petikan: http://www.khalidjaafar.org/

“Tidak lojik umpan 50 juta” – Pensyarah kanan

February 3, 2009

Bagi Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian, dakwaan itu tidak logik kerana lebih baik BN menggunakan wang yang besar jumlahnya itu untuk projek yang membawa faedah dan manfaat kepada rakyat, terutama projek pembangunan yang akan memberi kelebihan kepada parti gabungan itu daripada membeli dua ADUN PR. -bernama-

Itu adalah petikan yang diambil oleh Bernama dari dari Pensyarah Kanan USM. Walaupun aku sendiri adalah graduan lulusan Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, tetapi aku sendiri tidak bersetuju atau sependapat dengan pensyarah pusat pengajian Sains Kemasyarakatan (Antropologi&Sosiologi) ini.

Apalah erti RM50juta bagi Umno dan Barisan Nasional ini dalam kegilaan mereka mengekalkan kuasa. Sedangkan Bom boleh meletup dalam badan wanita monggolia, sedangkan orang boleh hilang, sedangkan komisyen beratus juta boleh disapu ini kan pula RM50 juta…apalah sangat erti RM50 juta jika dibandingkan dengan jawatan perdana menteri yang sedang menanti… (Sekali Bik Mama shopping pun dah lebih RM50juta)

Dah macam cerita Mafia……..

February 2, 2009

Kalau semalam aku tulis perkembangan politik di Perak macam cerita Tamil atau Hindustan. Tapi hari ini aku rasa perkembangan politik Malaysia kini dah macam cerita Mafia. Penuh dengan gerakan sulit serta pelbagai ancaman.

Pembunuhan wanita monggolia yang menjadi seribu pertanyaan dan perbicaraan yang mencurigakan. Kehilangan Bala Subramaniam yang gagal dikesan hingga kini setelah membuat akuan bersumpah tentang penglibatan Najib dalam pembunuhan Altantunya memperlihatkan babak – babak cerita Mafia dalam kancah politik Malaysia.

Kehilangan dan kemunculan Adun Behrang dan Changkat Jering yang dikhabarkan disorok oleh Najib baru – baru ini menambahkan lagi kehangatan plot cerita dalam politik Malaysia. Dan yang terbaru pengakuan Exco Kerajaan Kedah Arumugam a/l Vengatarakoo tentang ugutan dan ancaman yang diterima oleh beliau dari pihak Barisan Nasional agar keluar dari PKR dan menyertai BN amat mengejutkan.

Kehangatan ini ditambah lagi dengan akuan bersumpah Ketua Bahagian Ipoh Barat Fauzi Muda tentang tawaran RM50 juta dari Najib agar beliau melobi dua Adun PKR Perak keluar dari parti PKR menambahkan lagi aksi hebat dalam perjalanan cerita ini.

Apakah aksi – aksi hebat yang akan muncul lagi dalam perjalanan politik Malaysia ini. Bagaimana kemuncak dalam cerita ini dan bagaimana pula kesudahannya.

Kalau dalam cerita Hindustan hero mesti kalah dulu dan orang yang disangka baik sebenarnya adalah pembelot. Tapi dalam cerita – cerita Mafia polis mesti banyak kena tembak, meletup sana – sini, orang jahat kadang – kadang terlepas.

Harap – harap selepas ini ada pihak dapat menerbitkan filem berkenaan situasi politik Malaysia sekarang ini. Mesti boleh meletup punya cerita ni. Asyik filem cinta makan kat restoran besar pastu pakwe kena simbah dengan air oleh awek dia…semua tu dah boring beb………….

Kronologi Perkembangan Politik Di Perak kini

February 2, 2009
  • Adun Bota mengumumkan telah keluar dari Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat
  • Dua Adun Perak iaitu Adun Behrang dan Changkat Jering dilaporkan hilang dan gagal dihubungi
  • Desus desus mengatakan yang mereka berada di rumah Najib di Pekan dan dikawal ketat oleh pasukan polis tentera
  • Kemungkinan besar kedua Adun ini akan menyertai Umno
  • Pak Lah buat pengakuan yang akan ada Adun dari Pakatan Rakyat di Perak akan sertai Umno
  • MB Perak minta kedua Adun tersebut putuskan pendirian mereka sama ada kekal dengan Pakatan Rakyat atau keluar dari Pakatan Rakyat
  • Lewat petang, kedua – dua Adun tersebut telah meletak jawatan sebagai Adun di kawasan mereka dan Speker dewan undangan negeri Perak isytihar kedua kerusi tersebut kosong
  • Adun Jelapang dari DAP dilaporkan turut hilang dan dijangka akan menyertai MCA
  • Piliharaya kecil mungkin akan diadakan dalam masa 60 hari selepas itu
  • DAP nafi yang Adun Jelapang akan menyertai MCA
  • Malamnya Adun yang terlibat menafikan yang mereka telah meletak jawatan dan mengatakan yang mereka masih sebagai Adun PKR

# Yang uniknya aku tengok Dato Seri Anwar cool….. ja dalam hal ni sedangkan yang terlibat adalah Adun dari PKR. Mungkin Dato Seri Anwar sudah ada strategi yang cukup mantap dalam hal ini. Sama – sama kita tunggu……….

Politik di Perak macam cerita Tamil dan Hindustan…

February 1, 2009

Seperti bermain catur, seperti bermain snuker dan seperti bermain poker itulah ibaratnya suasana politik di Perak sekarang. Jika tersilap menggerakkan buah, tersalah bola yang diambil atau tersilap kad yang dikeluarkan pastinya mengundang padah kepada pihak yang terlibat dalam pertarungan itu.

Itu dari sudut permainan. Tetapi apa yang lebih menarik suasana politik di Perak sekarang cukup dramatik seperti cerita filem tamil dan hindustan. Strategi disusun disana sini. Jerangkap samar dimerata-rata, sembunyi, culik, ugut, tawaran sedang diatur dalam politik Perak sekarang ini.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat serta Ketua Pembangkang Dato Seri  Anwar Ibrahim dan Saifuddin Nasution Ismail selaku pakar strategik PKR pastinya sedang memerah segala idea, rancangan dan strategi bagi berhadapan dengan suasana politik di Perak sekarang. Begitu juga Najib dan kuncu-kuncunya pasti juga turut serta mencari segala taktik bagi terus bertarung dalam gelombang tsunami politik yang tidak pernah reda semenjak 8 Mac 2008.

Jika tersilap satu percaturan pasti akan ada pihak yang binasa. Perang saraf dan strategi politik sedang meletus di Perak.  Bermula dengan kemasukan Adun Bota ke PKR, kehilangan dua Adun Behrang dan Changkat Jering, Ura – ura kemasukan dua Adun tersebut ke dalam Umno, perletakan jawatan kedua-dua Adun tersebut, pilihanraya kecil bagi kedua-dua kawasan tersebut dan yang terbaru penafian kedua Adun tersebut yang mereka telah meletak jawatan.

Rumit, complicated, licik dan berbagai lagi sedang berlaku dalam politik Perak sekarang. Sama – sama kita nantikan apa kesudahannya.