Archive for January, 2009

–KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA–

January 31, 2009

Ipoh, 31 Januari 2009

Kami ingin memaklumkan dua orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dari Parti Keadilan Rakyat; YB Jamaluddin Mat Radzi dan YB Osman Bin Jailu tidak dapat dihubungi sejak empat hari yang lalu, bukan sahaja oleh parti tetapi juga oleh ahli keluarga mereka.

Kami percaya kehilangan mereka ada hubungan rapat dengan pertuduhan kes rasuah yang sedang mereka hadapi dan perbicaraan kes tersebut akan bermula pada 10hb Februari 2009.

Dari awal lagi kami amat yakin pertuduhan dalam kes tersebut adalah satu pertuduhan palsu yang direkacipta oleh UMNO dan BN sebagai satu ugutan politik.

Kami percaya ada usaha dari Barisan Nasional untuk memujuk kedua-dua Exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Dato’ Seri Najib termasuk menggugurkan kes rasuah mereka.

Namun kami berharap kedua-dua pemimpin ini berada dalam keadaan selamat dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti selama ini dan tidak terperangkap dengan muslihat UMNO-BN yang kononnya inginkan penyertaan mereka untuk membela nasib Melayu.

HAJI OSMAN ABDUL RAHMAN
Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Perak

Advertisements

Demo di Sogo 31 Jan 2009

January 31, 2009

Kebetulan Demo tentang PPMSI yang diadakan tadi, dibuat pada hari Sabtu, hari aku kerja separuh hari. Lepas habis kerja pukul satu, keluar ja pejabat hujan turun lebat. Dalam hati aku kata mesti Demo kat Sogo ni mesti ramai orang tak datang. Aku lepak dulu dengan member aku kat depan pejabat, lepas tu kami p makan dulu.

Lepas makan, aku dengan member aku jalan kaki pi kat depan Sogo. Tempat keja aku dengan Sogo dekat ja, dalam 200 meter ja. Aku sampai dalam pukul 3 lebih, tgk org ramai dah mula berkumpul kat depan dataran Sogo tu. Aku dengan member aku terus p join.

Tapi tak berapa syok sangat, Demo kali ni lebih santai…ramai orang yang datang sekadar berdiri dan jalan – jalan depan dataran Sogo tu ja. Bapak – bapak polis penuh sana – sini. SB-SB juga merayap di merata-rata. Tak ada suasana yang panas, semuanya cool dan santai saja. Tokoh yang aku nampak macam A Samad Said, yang lain aku tak berapa kenal.

Lebih kurang setengah jam lebih kat situ, member aku ajak aku belah. Aku pun belah p kat parking moto kat depan pejabat. Bila dah gerak naik moto, aku jadi macam tak puas hati. Aku belok moto aku masuk jalan Tunku Abdul Rahman balik p kat depan Sogo sekali lagi. Kali ni duk seberang jalan atas moto duk tgk suasana kat Sogo. Tapi keadaan still macam tadi, orang ramai yang datang semuanya cool dan santai ja. Dari seberang jalan aku nampak Ketua  Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar duk bercakap dengan polis. Aku terus p parking moto aku, dan aku sekali lagi p join orang ramai yang duk berkumpul kat depan Sogo.

Wartawan penuh serbu A. Samad Said, tengok gelagat wartawan ni teringat aku masa jadi wartawan sambilan dulu. Sesekali pikir best jugak jadi wartawan ni. Aku borak-borak dengan pakcik kat sebelah aku, dia cakap dari pukul dua setengah tadi orang dah mula berkumpul kat depan Sogo, Tian Chua semua ada time tu. Aku time tu duk dalam kedai makan lg..pukul 3 lebih baru aku p depan Sogo. Pakcik tu pun tunjuk la kat aku gambar-gambar yang dia sempat ambik. Aku pun layan la tgk…aku nak ambil gambar pun, aku tak berkemera, handfon aku pn cuma boleh sms ngan kol ja belum ada kemera.

Lebih kurang setengah lebih kat situ aku pun belah balik rumah. Lagi pun time tu orang dah ramai gerak balik. Bila aku sampai ja kat rumah, member aku yang duduk kat Shah Alam baru masej aku tanya ada kat mana, dia kata dia tgh ada kat depan Sogo. Alamak geng…aku baru ja belah……hahaha

Kesimpulan perhimpunan tadi kira berjaya la…sebelum ni pun anggaran orang yang akan datang ke demo tu dalam 500 orang tapi tadi aku tgk lebih dari 500 orang..dekat 1000 jugak yang datang tadi. Keadaan pun tenang, polis – polis pantau dari jauh dan tak ada lori FRU ngan meriam air. Bagi aku, itu demo yang santai…mungkin 7 Mac 2009 nanti akan lebih panas kerana usaha penganjur untuk menghimpunkan 100 ribu pengunjung. Sama – sama kita nantikan dan yang pastinya aku akan berusaha untuk join perhimpunan 7 Mac 2009 nanti….

Tahniah Kepada PAS dan Pakatan Rakyat

January 18, 2009

pasmenangTahniah saya ucapkan kepada PAS dan Pakatan Rakyat kerana berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam persaingan piliharaya kecil yang baru sahaja selesai beberapa jam yang lalu. Kemenangan ini telah meningkatkan lagi moral PAS dan Pakatan Rakyat itu sendiri. Walaupun PAS dan Pakatan Rakyat terus diasak dan diserang dengan melalui pelbagai sudut oleh pihak Umno/Barisan Nasional dan media massa yang ada, namun PAS dalam gabungan Pakatan Rakyat tetap mampu untuk meraih kemenangan. Apa yang lebih menarik dan manis lagi, PAS memenangai pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini dengan jumlah majoriti yang lebih besar iaitu sebanyak 2631 berbanding jumlah yang dimenangi calon Umno pada pilihanraya umum 8 Mac 2008 yang lalu iaitu 628 majoriti sahaja.

Bagi pihak Umno pula, ini satu tamparan demi tamparan yang mereka terima sejak 8 Mac 2008. Sejak dari piliharaya umum 8 Mac 2008 Umno dan Barisan Nasional terus menerima tekanan, pukulan, kekalahan dan demi kekalahan. Arus tsunami politik yang melanda Malaysia bermula dari 8 Mac 2008 yang masih dilihat belum berhenti dan diramalkan akan terus bergerak kencang selepas pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini.

Walaupun Umno dan Barisan Nasional telah menggunakan seluruh jentera kerajaan, media massa, akta-akta zalim, panglima-panglima, pendekar, sumpah – sumpahan, surat 11 tahun yang lalu hinggalah ke buntot Si Saiful namun mereka masih belum mampu menyekat pengaliran deras tsunami politik di Malaysia yang mahukan perubahan.

Khairy runsing lagi kerana modal hududnya tidak menjadi, Ezam seakan mahu membunuh diri kerana kerana gagal dalam “assignment”  nya lagi, Pak Lah seolah tidak mahu peduli kerana hanya menghitung hari, Najib seakan mahu lari kerana takut selepas ini lebih buruk yang terjadi tapi masih nak jadi perdana menteri, parti komponen lain semakin menjauhkan diri dan selepas ini hak rakyat akan berdiri.

(dalam petikan sebelum ini berkenaan pilihanraya kecil Kuala Terengganu, saya meramalkan PAS akan menang hanya dengan majoriti kurang dari 1000 undi, tetapi ramalan saya agak kurang tepat kerana jumlah majoriti yang sebenar adalah lebih besar dari yang diramal 🙂  )

“Pembuktian Setia Ezam” Kepada Umno

January 17, 2009

ezam_paklah11Ezam Mohammad Noor bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan dan bekas setiausaha politik Dato Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendapat tugasan atau “assignment” kali kedua di Kuala Terengganu selepas gagal dalam assignment pertamanya di Permatang Pauh. Saya pada mulanya tidak berminat untuk memperkatakan tentang hal dan gelagat Ezam ini. Tetapi setelah tamatnya tempoh kempen pilihanraya kecil Kuala Terangganu ini, terasa ingin pula saya coretkan berkenaan hal dan gelagat Si Ezam Md Noor ini di alam siber sebagai kenangan pilihanraya kecil Kuala Terengganu 17 Januari 2009

Ezam keluar dari Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2004 selepas parti itu mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum ke-11 2004. Hanya satu kerusi parlimen iaitu Permatang Pauh berjaya dipertahankan dengan kemenangan majoriti yang tipis oleh Datin Seri Wan Azizah, Presiden Parti Keadilan Rakyat. Itu pun setelah kiraan semula undi dijalankan sehari selepas tarikh pengundian. Dato Seri Anwar Ibrahim yang baru dibebaskan dari penjara pada waktu itu sedang sibuk mendapatkan rawatan kesihatan di luar negara. Ini kerana kesihatan Dato Seri Anwar pada waktu itu cukup kritikal dan membimbangkan sekali.

Parti Keadilan Rakyat yang sebelum itu bergelar Parti Kedilan Nasional dilihat seolah-olah akan tamat riwayat politiknya. Satu persatu ahli dan pemimpin –pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat meninggal parti berkenaan kerana sudah tiada keyakinan yang parti tersebut mampu bertahan. Beberapa ketika selepas itu juga insan yang bernama Ezam Md Noor turut mengumumkan bahawa dia telah meninggalkan Parti Keadilan Rakyat atau Parti Keadilan Nasional pada waktu itu.

Tetapi pada waktu itu Ezam tidak menyertai United Malay National Organization UMNO. Walaupun ada ura-ura dan khabar yang mengatakan Ezam akan berbuat demikian. Sebaliknya setalah meninggalkan parti Keadilan dia mengasaskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu “Gerakan Anti Korupsi” GERAK. Namun sehingga ke hari ini pertubuhan GERAK itu dilihat tidak bergerak dalam mencapai matlamatnya untuk menentang rasuah dan korupsi.

Ramai menyangkakan Parti Keadilan Rakyat akan pupus terus dari lanskap politik Malaysia pada pilihanraya umum ke-12 2008. Ezam yang belum menyertai Umno pada waktu itu turut sama ligat menghemtam Parti Keadilan Rakyat dan Dato Seri Anwar. Angkatan Muda Keadilan yang pernah dipimpinnya suatu ketika dahulu digelar sebagai “cicak mengkarung”. Betapa rendahnya martabat Angkatan Muda Keadilan pada waktu itu di mata Ezam.

Namun Ezam tersingtak terkejut terkedu apabila Parti Keadilan Rakyat mendapat kemenangan besar pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu dengan mendapat 31 kerusi parlimen yang mana sebelum ini hanya satu kerusi yang mereka miliki di parlimen.

Tidak berapa lama selepas itu, Ezam melepaskan jawatannya sebagai pengurusi GERAK kerana mungkin pertubuhan ini sudah tidak mampu bergerak lagi. Ramai pihak telah meramalkan yang Ezam akan menyertai Umno setelah dia melepaskan jawatan pengerusi GERAK tersebut. Namun ramai juga pemerhati dan peminat politik meramalkan yang Ezam tidak akan menyertai Umno pada waktu itu kerana Umno sedang berada dalam keadaan kritikal selepas terkena pukulan hebat rakyat dalam pilihanraya umum ke-12 .

Namun tidak lama selepas itu Ezam mengumumkan yang beliau akan menyertai Umno. Acara kemasukan Ezam ke dalam Umno telah mendapat liputan riah-meriah oleh media tempatan milik Umno dan Barisan Nasional. Namun permohonan Ezam untuk menyertai Umno tidak mudah diterima dengan begitu sahaja oleh pihak Umno. Permohonan dia untuk menjadi ahli Umno terpaksa dirujuk ke Majlis Tertinggi Umno selepas mendapat bantahan daripada beberapa dalam Umno.

Beberapa hari setelah permohonan Ezam itu dibincangkan oleh Majlis Tertinggi Umno, barulah permohonannya diluluskan. Namun Ezam hanya diterima sebagai ahli biasa Umno sahaja. Dia dilarang bertanding sebarang jawatan sama ada di dalam atau luar Umno. Beliau hanya bergelar ahli Umno biasa seperti Mat-mat rempit yang mengisi borang Umno untuk menjadi ahli, bagi membolehkan mereka mengikuti program konvoi Putera Umno ke Teluk Batik.

Kehadiran Ezam ke dalam Umno masih kuat dicurigai oleh ahli dan pemimpin – pemimpin Umno terutama mereka yang pro kepada Dato Seri Najib. Hingga ke hari ini boleh dikatakan banyak pemimpin Umno yang agak tidak mengendahkan Ezam di dalam Umno. Mereka mungkin masih curiga dan sangsi dengan kehadiran Ezam ke dalam Umno yang mana suatu ketika dahulu, Ezam adalah orang paling lantang mengkritik Umno baik di zaman Tun Mahathir dan di zaman awal Pak Lah menjadi perdana menteri. Dengan ucapan dan lenggok bahasanya yang meniru Dato Seri Anwar serta sumpah – sumpahnya yang langtang dan bergegar – gegar sewaktu memimpin Angkatan Muda Keadilan dahulu membuatkan Umno terutama kumpulan Dato Seri Najib berat untuk menerimanya. Hanya Pak Lah, menantunya dan beberapa kerat orang Pak Lah di dalam Umno yang dilihat rela dengan Ezam menyertai Umno.

Untuk mengatasi kesangsian dan kebencian pemimpin – pemimpin Umno ini terhadap dirinya, dia perlu melakukan “baiah” atau pembuktian taat setianya kepada Umno. Jika seseorang itu dari sebuah pertubuhan kongsi gelap dan mahu menyertai sebuah pertubuhan kongsi gelap yang lain yang mana sebelum ini dimusuhinya maka perbuatan “pembuktian kesetiaan” kepada pertubuhan dan pemimpin pertubuhan kongsi gelap tersebut adalah perkara wajib yang perlu dilakukan. Antara “pembuktian kesetiaan” yang selalu diminta untuk dilakukan ialah dengan membunuh pemimpin atau sahabat baiknya dalam pertubuhan terdahulu. Atau “pembuktian kesetiaan” yang paling biasa ialah memotong jari atau mengeluarkan darah dari bahagian badan tertentu. Kisah – kisah seperti Ini sering digambarkan dalam filem – filem Hong Kong yang banyak dijual dalam bentuk VCD dan DVD di pasar – pasar malam.

Tugasan atau “pembuktian kesetiaan” yang perlu dilakukan Ezam ialah dengan “membunuh politik” Dato Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menjadi Bos nya. Mungkin dengan kejayaan ini, barulah Ezam dibenarkan bertanding pelbagai jawatan dalam Umno serta mana – mana pilihanraya kecil atau umum yang akan datang.

Namun usaha pertama Ezam dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lalu telah gagal. Ezam yang bertungkus lumus, berkotak dan bersumpah di Permatang Pauh gagal membuahkan apa – apa hasil. Bukan setakat gagal membuatkan Dato Seri Anwar tewas dalam pilihanraya kecil tersebut, malahan untuk mengurangkan majoriti undi terhadap Dato Seri Anwar juga turut gagal. Jumlah majoriti undi yang dimenangi Dato Seri Anwar dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh lebih besar berbanding yang diperoleh isteri beliau Datin Seri Wan Azizah pada pilihan raya umum ke-12.

Pilihanraya Kecil Kuala Terangganu memberi satu lagi peluang kepada Ezam membuktikan kesetiaannya kepada Umno. Buntot Saiful sudah tidak laku di Kuala Terengganu, agen Amerika dan agen Cina juga sudah tidak memikat di Kuala Terengganu. Apa yang cuma dijual oleh Ezam adalah surat dua halaman yang ditulis tangan oleh Dato Seri Anwar kepada Tun Mahathir 11 tahun yang lalu bagi menyatakan dukacita Dato Seri Anwar terhadap apa yang berlaku kepadanya pada waktu itu. Ezam sendiri mengkhainati surat tersebut dengan tidak menyerahkannya kepada Tun Mahathir dengan alasan terlewat lima minit.

Yang bertanding dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu kali ini adalah Pas. Tetapi kempen Ezam hanyalah menyerang Dato Seri Anwar. Ini jelas Ezam cuba “repeat exam” nya yang gagal sebelum ini di Permatang Pauh. Surat Dato Seri Anwar yang didedahkan oleh Ezam itu langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada pengundi di Kuala Terengganu malahan penyokong Parti Keadilan Rakyat seluruh Malaysia. Kalau isi kandungan surat ini begitu penting dan boleh mejatuhkan Dato Seri Anwar, mengapa ianya tidak didedahkan pada pilihanraya kecil Permatang Pauh, medan di Permatang Pauh adalah lebih sesuai bagi Ezam mendedahkannya kerana Dato Seri Anwar sendiri yang bertanding dalam pilihanraya itu. Kenapa di Kuala Terengganu baru Ezam hedak dedahkan setelah 11 tahun surat tersebut berada dalam simpanannya. Atau mungkin, Ezam sudah kehabisan bahan rujukan bagi dirinya lulus dalam “peperiksaan” bagi membuktikan kesetiaannya kepada Umno. Maka Ezam terpaksalah mengeluarkan apa yang ada seperti surat tersebut agar dia boleh lulus dalam peperiksaan kali ini di Kuala Terengganu.

Hari Penentuan Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu Bakal Bermula

January 16, 2009

Ketika saya sedang memulakan penulisan ini, jam sudah menunjukkan hampir pukul 11.30 malam 16 Januari 2009. Ini bermakna lebih kurang setengah jam dari saat saya menulis ini, maka akan tamatlah tempoh kempen bagi parti – parti yang bertanding dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu ini.

Sayangnya saya tidak dapat mengikuti dan merasai suasana sepanjang kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu dengan lebih dekat. Saya hanya dapat mengikuti perkembangan pilihanraya kecil ini melalui media terutama intenet sahaja kerana bebanan kerja yang sedia ada.

Namun, esok adalah hari penentuan. Seluruh pengundi yang berdaftar sebagai pemilih bagi kawasan parlimen Kuala Terengganu akan menunaikan hak demokrasi yang miliki dalam memilih calon yang layak sebagai pemimpin mereka.  Persoalan siapa yang menang, siapa yang tewas dan berapa jumlah kemenangan akan terjawab pada malam keesokannya 17 Januari 2009.

Jika calon PAS berjaya menawan kembali kerusi parlimen Kuala Terengganu, ini bermakna gelombang tsunami politik yang meletus pada 8 Mac 2008 yang lalu masih lagi belum berhenti. Imej dan moral Pakatan Rakyat pasti akan meningkat naik dan PAS serta Pakatan Rakyat itu akan menjadi lebih kuat dan jitu.

Jika calon UMNO menang dalam pilihanraya kecil ini, saham Pak Lah dalam politik akan meningkat naik kerana calon UMNO yang bertanding itu adalah sekutu rapat Pak lah dan menantunya Khairy. Ezam pastinya gundah gulana lagi kerana peluang kali kedua yang diberikan Umno kepadanya untuk malakukan “baiah” atau tugasan yang membuktikan dia setia dengan Umno, gagal sekali lagi setelah percubaan pertama di Permatang Pauh yang turut sama gagal. Dalam masa yang sama, situasi ini akan menggusarkan najib yang sudah bersedia untuk menjadi PM pada bulan Mac nanti kerana bimbang dengan kewujudan sekutu Pak Lah yang ramai dalam Umno.

Apa pun, terpulang kepada pengundi di Kuala Terengganu bagi memilih calon mana yang akan membawa suara mereka ke parlimen.

Tetapi pada ramalan saya, calon dari PAS boleh menang tetapi jumlah majoriti undi kurang dari 1000.

Sama-sama kita nantikan adakah ramalan saya ini tepat 🙂

Antara Syiah, Sunnah, Palestin dan Israel

January 3, 2009

Pada hari ini bumi Palestin yang sudah semakin hancur dikerjakan oleh Israel sejak berpuluh tahun dahulu terus lagi dibedil, diratah dan dirogol oleh bangsa Yahudi yang dilaknat oleh Allah ini. Jumlah kematian terus meningkat, yang cedera apa tah lagi dan yang hilang terus tidak ditemui. Bagaikan lembu gila Israel terus menerkam dan membaham warga Palestin yang tidak berdosa yang dahagakan keamanan dan ketenangan sejak berpuluh tahun dahulu. Boleh dikatakan lebih dari separuh rakyat Palestin tidak pernah merasai nikmat keamanan sejak mereka lahir ke dunia ini. Kini kekejaman yang sentiasa berlaku itu terus lagi meningkat denganb gilanya.

Lebih biadap serangan terhadap penduduk Palestin ditingkatkan pada umat Islam seluruh dunia sedang merayakan sambutan awal Muharam (1 Muharam) yakni tahun baru bagi kalendar Islam. Tindakkan Isreal melancarkan serangan pada tarikh tersebut juga boleh dilihat sebagai cara untuk mencabar umat Islam seluruh dunia yang menghuni hampir 1/2 muka bumi ini. Namun dunia terus memandang sepi dan umat Islam seluruh dunia tidak merasakan itu sebagai satu cabaran atau penghinaan terhadap mereka. Mereka hanya sekadar mengadakan demostrasi – demostrasi ringan yang belum cukup kuat untuk mematahkan peluru – peluru dan bom milik Isreal yang terus membedil bumi Palestin. Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu PBB, pada hari ini iaitu Sabtu 3 Januari 2009 baru akan mengadakan persidangan bagi mencari resolusi kepada keganasan yang meningkat di Palestin kini. Setelah ratusan nyawa hilang dalam keganasan menggila Isreal sejak lebih seminggu yang lalu, PBB baru mahu mengadakan persidangan mungkin bertujuan mencari defenisi “apa itu keganasan”.

Pemimpin – pemimpin Arab langsung dayus dan bacul. Majoriti pemimpin Arab kini menjadi kuda tungangan Amerika Syarikat dan secara tidak lanngsung Isreal demi kepentingan peribadi dan kekenyangan perut mereka dan sanggup membiar saudara seagama mereka terus diratas buas oleh Yahudi yang dilaknat Allah ini.

Mana pergi Ahmadinejad pemimpin Iran yang begitu lantang dan dilihat berani berdepan dengan Amerika dan Isreal? Mana hilangnya Hizbullah yang pernah menjadi hero dengan mengalahkan tentera Isreal di Lubnan pada 2006 yang lalu. Kemana perginya mereka semua ini tak kala saudara seagama mereka dibunuh kejam oleh Isreal. Mengapa hanya jeritan – jeritan kecil yang muncul dari Ahmadinejad dan kenapa langsung tidak kedengaran suara atau tindakan dari Hizbullah?

Jawapannya kerana orang Islam di Palestin itu Mahzabnya Sunnah dan Iran serta Hizbullah itu ber Mahzab Syiah. Inilah perkara yang menyebabkan dua pihak yang dilihat gagah pada suatu – suatu masa itu seolah – olah sedang bermimpi tak kala umat Islam di Palestin dibelasah dengan teruk Isreal. Pemimpin Arab yang bermazhab Sunnah lainnya telah sedia terbeli oleh secara langsung oleh Amerika dan tidak langsung oleh Israel.

Hanya kerana perkara Syiah dan Sunnah yang mana ianya sendiri tidak pernah disebut oleh Nabi Muhammad ini, menjadi alasan paling kuat untuk membiarkan saudara seagama terus dibaham dan diratah oleh Israel. Perkara mazhab yang wujud secara kebetulan dan perasaan tidak puas hati dua pihak ini terus memakan diri umat islam sendiri hingga hari ini. Hakikatnya ajaran Islam itu sendiri tidak pernah membahagi – bahagikan yang mana satu Syiah dan yang mana satu Sunnah. Tetapi perkara itu yang menjadi pegangan kuat umat Islam seperti pemimpin – pemimpin dunia Arab pada hari ini daripada perkara – perkara sebenar yang dituntut Islam.

Sampai bilakah bumi Palestin akan terus dibasahi darah dan dicuci dengan linangan air mata penghuninya dan penghuni dunia lain sekadar mampu duduk diam mengelengkan kepala. Atau sememangnya bumi Isreal dan kawasan sekitarnya itu menjadi tempat pengumpulan dan penghapusan bangsa Yahudi seluruh dunia pada akhir zaman  nanti seperti mana yang disebut dalam  Al-Quran.

Moga Allah mengurniakan keamanan terhadap bumi Palestin yang mana selama ini erti keamanan itu terpisah terlalu jauh dari bumi Palestin dan penghuninya.

Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah dan 2009 Masihi

January 3, 2009

Rasanya masih agak belum terlewat walaupun mungkin sedikit terlewat bagi Suarasaktii mengucapkan Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah dan 2009 Masihi kepada pelayar – pelayar blog sekalian. Dengan munculnya tahun baru ini diharapkan akan membawa seribu makna kepada seluruh kita rakyat  Malaysia.

Moga detik – detik pantas yang akan berlalu sepanjang tahun ini akan dimanfaatkan oleh kita semua. Cabaran juga mungkin menanti kita dalam tahun yang baru ini dengan kegawatan ekonomi dunia yang kian hebat melanda. Apa pun diharapkan kita mampu untuk menempuhi segala dugaan tersebut.

Agar dengan menjelmanya tahun baru ini, pekembangan politik dan demokrasi di negara kita akan menjadi lebih subur. Apa yang terlalu Suarasaktii idamankan agar rakyat Malaysia akan menjadi rakyat yang matang dalam politik dan tahu apa “erti politik sebenar” dalam menghadapi zaman dan arus yang semakin mencabar ini.

Apa erti politik sebenar???? nanti kalau ada mood Suarasaktii tulis…