Archive for December, 2008

HUDUD: APABILA HANYA PENGHUKUMANNYA SAHAJA YANG DIPERKATAKAN

December 28, 2008

Hari ini isu bekenaan Hudud mula wujud dan diperkatakan kembali buat beribu kalinya. Debat antara Datuk Husam Musa dan Khairy Jamaluddin baru – baru ini  menjadi titik tolak kepada timbulnya kembali isu Hudud ini yang mana ianya cuba dijadikan modal politik Umno dalam kempen politiknya. Lebih menguntungkan bagi Umno, isu ini timbul dikala saat pilihanraya kecil Kuala Terengganu kian hampir.

Sana sini pada hari ini orang mula kembali membicarakan berkenaan Hudud ini yang mana ianya telah lama tidak diperkatakan walaupun pada pilihanraya umum 8 Mac 2008 yang lalu. Media arus perdana milik Umno dan Barisan Nasional mula galak memperkatakan berkenaan Hudud ini seumpama inilah isu terbesar pada tahun ini.

Apa yang jelas mereka cuba mengunakan isu Hudud yang kebetulan timbul pada ketika ini bagi merenggangkan perpaduan parti – parti dalam Pakatan Rakyat. Apa yang lebih penting lagi, modal berkenaan Hudud ini akan diharapkan dapat mempengaruhi rakyat terutamanya orang Melayu bagi membenci DAP dan kaum bukan Melayu pula diharapkan dapat menjauhi PAS dan PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat. Rakyat yang cepat melatah akan mainan politik Umno dan Barisan Nasional yang disensasikan pula oleh media milik mereka ini pastinya akan terpengaruh dan hayut dengan mainan politik sempit Umno dan Barisan Nasional ini.

Namun, sama ada kita sedar atau tidak isu berkenaan hukum Hudud ini sering dibicarakan pada bahagian akhirnya sahaja. Apa yang saya maksudkan, Hudud ini hanya sering dibicarakan pada peringkat perlaksanaan “hukumannya  sahaja. Ianya jarang diceritakan tentang keseluruhan hukum Hudud itu, yakni bermula dari peringkat awal siasatan, proses pengadilan dan perbicaraan, rayuan dan pengampunan hinggalah ke peringkat akhir iaitu sampai ke tahap penghukuman.

Situasi ini samalah seperti kita membeli sebuah buku di kedai yang kulit dan bungkusannya cukup cantik namun tajuknya tidak berapa kita faham, sayangnya apabila kita memiliki buku tersebut kita hanya membaca bahagian kesimpulan atau rumusannya sahaja dan kita terus membuat penilaian tentang buku itu hanya setelah membaca bahagian kesimpulan atau rumusan tersebut. Dengan hanya membaca bahagian kesimpulan atau rumusannya sahaja, ianya tidak cukup dan tidak mampu untuk kita memahami erti sebenar isi kandungan yang terkandung dalam buku tersebut, dan ini akan mendorong kita membuat penilaian yang salah terhadap buku tersebut. Walhal maksud sebenar yang terkandung dan ingin disampaikan melalui buku tersebut cukup baik dan bermakna sekali.

Perkara ini sama seperti kita membicarakan tentang Hudud pada hari ini. Majoriti kita hanya melihat dan memberi penekanan pada peringkat perlaksanaan hukumnya sahaja. Apabila timbulnya soal hudud ini, maka yang tergambar dalam fikiran kita ialah potong tangan, pancung, 100 sebatan dan lain – lain lagi yang mengerikan sahaja. Kita selalu mensinonimkan perlaksanaan Hudud ini dengan sesuatu yang ngeri dan kejam seolah – olah perkara potong tangan, pancung dan sebagainya itu tadi suatu yang bersifat priority atau perkara utama dalam Hudud. Sedangkan dalam hal Hudud ini bukan potong tangan atau pancung itu sahaja yang menjadi penekanan, malahan terdapat banyak lagi perkara dan aspek yang menjadi lebih penting dan diberi lebih penekanan berkenaan Hudud ini.

Kita sendiri yang beragama Islam ini pun sering kali terkeliru dan curiga dengan hukum Hudud ini sehinggakan ada pemimpin yang beragama Islam sendiri pun sanggup menyindir dan memandang rendah Hudud ini dengan dakwaan kononnya “orang Islam di Malaysia akan mundur kerana ramai yang kudung tangannya jika Hudud ini dilaksanakan di Malaysia”. Hudud ini bukan digubal dasarnya oleh penggubal dasar terbaik di dunia, bukan dipetik ideanya dari pakar undang – undang terhebat di dunia, tetapi Hudud ini digubal dan dibentuk dasarnya oleh Allah S.W.T yang sifat dan kelebihannya jauh lebih tinggi dan sempurna berbanding manusia. Siapa kita sebagai manusia untuk memperkatakan hukum yang datang secara terus dan dirakamkan didalam Al-Quran oleh Allah S.W.T ini sebagai tidak sesuai dan terdapat cacat celanya.

Sedangkan kita sebagai orang Islam sendiri pun sering kali terkeliru dan bimbang dengan Hudud hingga terdapat pemimpin yang beragama Islam sendiri pun sanggup mempersendakan Hudud secara terbuka, apatah lagi rakan – rakan kita yang bukan Islam. Jika sekali kita sangsi dengan Hudud, tidak mustahil kaum lain mungkin 10 kali lebih sangsi dari kita kerana mereka bukan Islam. Mereka lahir dalam keadaan tidak Islam, tidak seperti kita yang dilahirkan sebagai seorang Islam.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, terdapat segelintir orang Islam sendiri pada hari yang secara sengaja atau tidak sengaja cuba memberikan suatu gambaran yang salah tentang Hudud ini kepada kaum bukan Islam demi kepentingan politik dan kedudukan mereka. Mereka cuba menakut – nakutkan kaum bukan Islam yang Hudud ini sesuatu yang ganas, kejam dan zalim hanya kerana mahu memikat undi kaum bukan Islam daripada terlepas kepada pihak lain. Jadi bagaimana kaum bukan Islam yang Islam itu sendiri tidak ada dalam diri mereka mahu atau mampu untuk menerima hukum Islam seperti Hudud ini, jika terdapat orang Islam sendiri yang menakut – nakutkan mereka berkenaan Hudud ini.

Kita harus menukar cara kita berbicara tentang Hudud ini. Kita tidak boleh hanya memperkatakan atau memberikan penekanan kepada soal perlaksanaan hukumannya sahaja, jika kita mahu kaum bukan Islam tertarik dengan hukum Islam seperti Hudud ini. Isu bekenaan Hudud ini seharusnya dibicarakan secara keseluruhan bermula dari peringkat awal hingga ke peringkat akhirnya.

Perkara teras dalam sesuatu pembentukan undang – undang atau peraturan adalah untuk mencari dan memberi keadilan kepada yang berhak, agar keadilan itu dapat diletakkan pada tempatnya, bukannya untuk mencari siapa dan bagaimana ianya patut dihukum. Jadi mengapa dalam soal berkenaan Hudud ini, mengapa kita hanya tertarik untuk memperkatakan berkenaan hukumannya sahaja, sebaliknya kita harus lebih tertarik untuk membicarakan soal proses pengadilan bagi mencari keadilan, dan perkara itu yang harus menjadi keutamaan.

Sebab itu dalam soal Hudud ini, saya katakan kita harus melihatnya dari peringkat pertama penggunaannya hinggalah ke akhir perlakasanaan hukumannya. Misalnya, kita perlu melihat dari proses bagaimana seseorang itu boleh disyaki melakukan jenayah, bagaimana pula siasatannya dijalankan, bagaimana proses pengadilan itu dijalankan, siapa pula yang menjalankan proses pengadilan tersebut, bagaimana pula soal rayuan dan pengampunan boleh dijalankan dan akhir sekali barulah soal perlaksanaan hukuman. Satu perkara yang harus diingat bukan mudah untuk menjatuhkan hukuman Hudud kepada seseorang individu. Misalnya, walaupun terdapat banyak bukti yang menunjukkan seseorang itu bersalah melakukan kecurian, tetapi jika wujud sedikit keraguan berkenaan siasatan tersebut, seseorang itu tidak boleh dipotong tangannya. Ini kerana dalam Islam “melepaskan persalah itu adalah lebih baik dari tersalah hukum”.

Perkara – perkara ini yang patut ditekankan apabila kita memperkatakan berkenaan hukum Hudud. Agar kaum bukan Islam mendapat satu gambaran yang positif berkenaan Hudud ini dan mereka dapat melihat nilai keadilan yang lebih tinggi yang terkandung dalam hukum Hudud itu berbanding undang – undang sivil yang ditaja oleh penjajah yang kita guna pakai pada hari ini.

Saya percaya, jika Hudud ini berjaya dikuatkuasa dan dilaksanakan dengan baik dan jujur dalam tempoh 5 ke 6 tahun kepada umat Islam di Malaysia ini, pasti akan ada pemimpin – pemimpin bukan Islam yang akan menuntut agar Hudud ini juga turut dikuatkuasakan terhadap kaum bukan Islam setelah mereka melihat ciri – ciri dan ketertinggian keadilan serta keberkesanan dalam perlaksanaan Hudud ini terhadap umat Islam.

Saya berani berkata demikian kerana, Allah S.W.T itu maha berkuasa dan Hudud itu adalah undang – undang yang digubal atau dicipta oleh Allah S.W.T. Siapa kita sebagai manusia yang bersifat lemah dan ada kekurangan ini untuk mengatakan perkara yang dicipta Allah S.W.T. ini sebagai tidak sesuai sedangkan Allah S.W.T itu begitu sempurna sifatnya.

Advertisements

Bukan Pakatan Rakyat yang tidak mampu tapi Barisan Nasional yang tidak mahu

December 1, 2008

Hari Ahad yang lalu telah berakhirnya kongres Parti KeAdilaN Rakyat yang ke 5 yang julung-julung kalinya berjaya diadakan dengan begitu hebat dan sempurna sekali. Kongres yang belangsung selama 3 hari di Stadium Melawati Shah Alam itu dipenuhi wakil, pemerhati dan penyokong Parti Keadilan Rakyat dari seluruh negara. Apa yang menarik perhatian saya, perwakilan serta penyokong dari Sabah dan Sarawak boleh dikatakan begitu ramai sekali.

Antara isu yang menjadi perhatian pada kongres kali ini ialah berkenaan “16 Sept”. Boleh dikatakan ramai perwakilan dan pemerhati menantikan jawapan dari Dato Seri Anwar berkenaan isu “16 Sept” itu. Pada malam keduanya pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat telah menjelaskan akan isu tersebut termasuk Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Namun bagi saya sebagai ahli kerdil dalam Angkatan Muda Keadilan, berpendapat bukan Pakatan Rakyat itu yang tidak mampu menakluki Putrajaya pada 16 Sept 2008 tetapi Barisan Nasional yang tidak mahu akannya. Ini kerana bukan Pakatan Rakyat itu langsung tidak berjaya untuk sampai ke Putrajaya tetapi Barisan Nasional itu yang tidak mampu menerima hakikat. Malah boleh dikatakan pada tarikh-tarikh yang semakin hampir dengan 16 Sept yang lalu Pakatan Rakyat sudah 90% berjaya untuk sampai ke Putrajya.

Pakatan Rakyat telah mengunakan cara bersopan dengan menghantar surat kepada Pak Lah selaku Perdana Menteri untuk berjumpa dan melakukan pertukaran kuasa itu dengan elok dan sopan. Tetapi Pak Lah enggan berjumpa dan memandang sinis perlawaan Pakatan Rakyat itu. Pakatan Rakyat juga telah menggunakan cara perlembagaan dengan meminta diadakan persidangan parlimen tergempar bagi membolehkan pertukaran kuasa dilakukan mengikut perlembagaan. Namun ianya sekali lagi ditolak dengan sombong. Jika Pak Lah mahu berjumpa atau mengadakan persidangan parlimen tergempar sudah tentu Pakatan Rakyat hari ini berada di Putrajaya.

Ini bukan bermaksud Pakatan rakyat itu gagal tetapi Barisan Nasional yang tidak mampu menerima kekalahan. Pakatan Rakyat walaupun sudah memiliki jumlah ahli parlimen dan mampu membentuk kerajaan tetapi Pakatan Rakyat tidak mahu mengambil alih kuasa dengan cara yang begitu drastik dan kurang sopan serta diluar batas perlembangan. Ini kerana jika itu berlaku ianya akan menyebabkan keadaan huru – hara dan kestabilan politik serta ekonomi negara akan terjejas. Perkara ini pasti akan mengundang musibah kepada rakyat terbanyak. Itu yang tidak mahu oleh Pakatan Rakyat. Maka mereka menangguhkan terlebih dahulu dan mengatur strategi baru.

Umpama seorang jejaki yang lengkap serba – serbi serta gagah perkasa yang mahu meminang si anak dara. Kalau si anak dara itu menolak pinangan yang berkali-kali oleh si jejaka ini apa lagi yang hendak dikata. Tak kan si jejaka itu perlu menangkap si anak dara tersebut dan dibawa lari kawin di Siam. Kalau perkara ini terjadi pasti ianya akan menimbulkan ketegangan dan keadaan huru – hara antara dua pihak. Jadi strategi seturusnya perlu diatur. Dan dalam hal Pakatan Rakyat ini, strategi telah diatur dan telah pun berjalan dan hasilnya bakal kita lihat nanti.