SuaraSaktii

Suara Rakyat Suara Keramat

MENGENAL KONTRADIKSI DAN MUSUH

Ramai aktivis politik dalam negara kita ini tidak memiliki pandangan politik yang tepat. Ini berlaku kerana tidak wujudnya budaya pemikiran kritikal yang ampuh. Keadaan ini bertambah hodoh apabila bercampur dengan budaya malas membaca.

Budaya malas membaca, malas mengkaji dan malas metelaah ini telah dilahirkan oleh budaya suka mendengar. Mendengar bukan satu kesalahan. Mendengar bukan satu jenayah. Kita semua mendengar. Ketika kita kecil kita dididik untuk mendegar. Kita itu tidak digalakan untuk berfikir.

Bayangkan berapa juta pembohongan dan kelentongan hantu dan polong yang telah dihamburkan kepada kita semasa kita membesar. Cerita makhluk halus hantu dan puaka semuanya didodoikan kepada anak kecil. Tidak cukup dengan ini kita ditakut takutkan. Bermula dengan hantu, kemudian dengan polis dan akhir dengan api neraka. Anak kecil tidak memiliki peluang untuk mencerna pemikiran.

Kalau anak kecil banyak bertanya akan dianggap kasar – kurang ajar dan tidak sopan. Sebenarnya mendengar tanpa bertanya adalah permulaan proses pembodohan yang ingin disebatikan ke dalam susuk jiwa kita.

Memang tepat – ketika itu kita masih kanak-kanak. Maka, apa yang kita dengar – kita terima – sebagai fakta. Apabila telah bersunat, besar bersekolah, boleh membaca dan sudah pandai bertenet dan berinternet maka seharusnya timbul nilai wajib berusaha untuk mencerahkan fikrah dari pandangan karut marut yang didengari ketika membesar. Membuang dan membakul sampahkan segala karut marut yang bersidai dalam otak kita.

Mendewasa ertinya meninggalkan budaya suka mendengar yang kita terima semasa kanak-kanak. Mendewasa ertinya memulakan budaya suka membaca dan meyelidik. Melopong mendengar – masuk lalat keluar langau – tanpa melakukan pembacaan, rujukan dan kajian akan menjadikan fikrah bonsai. Bonsai fikrah ini adalah satu penyakit yang tidak berkuman, tidak berjangkit tetapi boleh diubati

Dalam suasana politik kita – budaya melopong mendengar ini telah diperkuatkan pula dengan budaya ceramah yang telah menjadi darah daging budaya politik tanah air kita. Ceramah sebenarnya adalah monolok – jalan sehala – dimana si pendengar tidak ada peluang untuk bertanya kembali. Pelbagai sampah seranah masuk ke telinga kita. Sama seperti kita dizaman kanak-kanak – tidak ada langsung peluang untuk menapis atau bertanya.

Seyugia diingati ceramah ini hanya boleh berfungsi dengan baik sebagai satu senjata untuk memanaskan rapat dengan pidato yang hebat. Pidato bertujuan untuk menaikan semangat – untuk melanggar musuh. Ceramah dan pidato berperanan untuk membakar semangat. Ceramah tidak menjanjikan penemuan ilmu atau mengembangkan akal.

Justeru ceramah satu hala amat berbahaya kerana berkemungkinan ianya menjadi ajen pembodohan. Tidak kira siapa si penceramah – berjubah atau berdastar – monolok sehala adalah tidak mengasah fikrah. Beribu-ribu rakyat yang datang melopong mendengar labun si penceramah tidak mungkin akan melahirkan pemula atau perobek bingkai budaya yang mengongkong. Lihat bagaimana monolog tv sehala yang telah terbukti bekerja sebagai ejen pembodohan.

Hasil dari budaya mendengar ini ramai warga terlali dan terlalai dari membaca dan mencari sumber pengetahuan. Otak semakin jarang digunakan – akhirnya lembab dan mamai. Justeru jangan hairan kenapa ramai yang menjadi pelupa dan nyanyok.

Perangai lupa dan nyanyok lahir dari susuk yang tidak lagi menggerakan otak mereka. Perhatikan orang pencen dan berumur – kerana mereka tidak lagi menggunakan fikrah maka mamai akan menyerang. Ini tidak menghairankan. Tetapi apabila aktivis politik yang masih muda menjadi mamai maka ada sesuatu yang tidak kena dalam badan politik tanah air kita ini.

Dalam gerombolan United Malays National Organistion bonsai fikrah adalah syarat utama untuk diterima sebagai ahli – jadi kita tidak perlu hairan. Apa yang menakjubkan ialah bonsai fikrah ini juga wujud dalam kelompok aktivis yang ingin melawan gerombolan.

Ciri utama yang dapat membuktikan betapa bonsainya fikrah aktivis politik kita hari ini ialah kegagalan mereka untuk megenali siapa musuh utama dan siapa kawan. Siapa kawan utama dan siapa pula kawan sampingan. Siapa kawan sepanjang perjuangan dan siapa kawan sementara. Siapa musuh dan seteru abadi dan siapa pula musuh sementara.

Mengenal musuh dan mengenal kawan adalah wajib dalam ilmu politik. Asas ilmu politik juga mewajibkan kita mengenal kontradiksi sosial. Mengenal kontradiksi sosial manusia adalah ilmu awal wahid sebelum membuat apa apa kerja politik. Gagal mengenal kontradisi sosial maka segala kerja politik adalah kerja mencurahkan teh tarik ke batu nesan.

Kontradiksi adalah pertembungan atau pertentangan dua unsur untuk melahirkan unsur ketiga. Kontradiksi adalah ibu segala-galanya dalam dunia ini. Dunia ini berputar dan bergerak kerana kontradiksi. Manusia wujud kerana kontradiksi. Politik wujud kerana kontradiksi. Wujud tidak akan wujud kalau tidak wujud kontradiksi.

Kerja politik ialah kerja untuk mengenal, mengurus dan menyelesaikan kontradiksi.
Justeru dalam kerja politik wajib di ketahui apa dia kontradiksi utama dan apa dia kontradiksi sampingan. Mana yang primer dan mana yang sekonder.

Kecelaruan – tidak dapat mengenal musuh dan tidak dapat mengenal kontradiksi – muncul kerana fikrah tidak terdidik untuk berfikir secara tersusun rapi. Sampa larau dan porak peranda – raba sana pekik sini – memperlihatkan daya fikrah yang tidak terurus.

Kecelaruan ini juga lahir kerana otak mereka tidak dilatih untuk berfikir secara kritikal. Otak – sama seperti program komputer – hanya akan mengeluarkan kembali apa yang telah dirakam. Perakaman yang tepat bukan dengan mendengar surah dan labon tetapi dengan membaca dan mengkaji.

Ilmu pengetahuan yang telah dikaji dan di baca akan disimpan dalam template dan program otak. Jika program itu tidak wujud berapa ratus kali pun diklik yang muncul hanya angka 404. Ini dunia ilmiah – yang berasaskan ilmu pengetahuan yang dikumpul melalui kajian, cubaan di bilik makmal dan penulisan pengalaman terkumpul. Ilmu pengetahuan yang ilmiah ini bukan datang dari mimpi atau angan-angan.

Hari ini musuh utama rakyat satu Malaysia ialah gerombolan United Malays National Organisation. Musuh sampingan rakyat satu Malaysia ialah Barisan Nasional. Malah dalam gerombolan itu sendiri tidak semuanya perlu dianggap musuh utama. Bagitu juga Barisan Nasional – bukan semua mereka musuh utama kita – banyak juga sering tidak sebulu dengan gerombolan United Malays National Organistion – ini kerana ada kontradiksi antara sesama mereka.

Contohnya rakyat Sabah dan Serawak ingin bebas dari cengakaman United Malays National Organisation. Parti Gerakan ingin menjadi lebih demokratik. MCA ingin lebih banyak mendapat projek. Semua ini adalah kontradiksi dikalangan Barisan Nasional sendiri yang wajib kita ekploit untuk menguntungkan orang ramai.

Sekarang mari kita fahami siapa pula musuh utama rakyat dunia. Jawapnya tidak lain dan tidak bukan ialah kaum imperialis Anglo-Amerika. Kuasa ekonomi Anglo-Amerika inilah yang sedang mengancam rakyat dunia. Kuasa ekonomi Anglo- Amerika sedang mendominasi ekonomi negara-negara dalam dunia ini. Inilah kontradiksi induk. Inilah punca segala masalah yang sedang menghuru harakan dunia.

Satu ketika nanti jika gerombolan United Malays National Organistion bangun menentang kepentingan ekonomi kaum imperial Anglo-Amerika kerana kepentingan ekonomi mereka terdesak maka kita patut bersama menyokong. Musuh kita yang menjadi musuh kepada musuh utama kita adalah kawan sampingan. Semua ini adalah asas taktik dan strateji politik yang paling minima.

Inilah penting memahami kontradiksi. Inilah pentingnya membaca dan mengkaji bukan hanya mendengar surah dan labon. Justeru apabila Thunderbirds tim bala tentera tentera udara Amerika datang membuat pertunjukan mereka di Kuala Lumpur – tim ini wajib dicap sebagai musuh utama. Air Force America adalah pendukung utama kuasa Anglo-Amerika. Manakala Beyonce seorang penyanyi adalah manifestasi budaya dari sistem ekonomi kapitalis Anglo-Amerika bukan pendukong utama. Dalam politik yang wajib kita tentang dan lawan bukan manifestasinya tetapi punca yang melahirkan manifestasi itu.

Sistem eknomi kapitalis melahirkan banyak manifestasi budaya. Adalah bangang untuk melawan manifestasinya. Kita juga akan dilihat sepuluh kali bangang dan bodoh politik jika berjuang menuntut agar kedai toto di Jalan Yap Kwang Teng ditutup. Ini kerana perjudian adalah manifestasi utama dari sistem ekonomi kapitalis. Malah bursa saham itu sendiri adalah sarang perjudian utama. Justeru apa yang harus digudam bukan manifestasi kapitalis tapi sistem kapitalis itu sendiri.

Salah satu dari kejayaan manifestasi budaya kapitalis ini ialah melahirkan warga yang tumpul akal dan bonsai fikrah hinggakan tidak dapat mengenal yang mana kontradiksi utama dan yang mana kontradiksi sampingan. Tidak berupaya untuk mengenal apa manifestasi dan apa yang melahirkan manifestasi itu. Akhirnya muncul perjuangan menuntut pengharaman penjualan buger kerana terdengar cerita adanya gelatin tak halal dalam burger. Tetapi tidak berjunag untuk melupuskan Mac Dogal dan Burger King . Ini tanda awal bahawa fikrah yang bonsai tak kesampian untuk berfikir. (TT)

http://www.tukartiub.blogspot.com/

October 5, 2009 Posted by suarasaktii | Ekonomi, Umum | | No Comments Yet

SISTEM EKONOMI KAPITALIS

Inilah sifat asli kapitalis. Inilah sifat kaum pemodal kapitalis. Dalam sistem ekonomi kapitalisma tujuan utama ialah untung.

Kapitalisma adalah sistem ekonomi yang tujuan asasnya mencari untung. Ini hakikat. Tidak perlu berdolak dalik.

Kaum kapitalis akan melakukan apa sahaja asalkan dapat untung.

Dalam sistem kapitalis – apa yang boleh di jual akan di jual. Asalkan ada untung.

Dalam sistem kapitalis – apa yang boleh di beli akan dibeli. Asalkan ada untung.

Dalam sistem kapitalis – agama, ibu, ayah, anak – semua boleh di jual – jika mendapat untung.

Kapitalisma adalah sistem ekonomi yang tidak mengira agama, bangsa atau wilayah.

Sistem kapitalis bersifat uninversal – melintasi benua, daerah dan wilayah.


SISTEM EKONOMI SOSIALIS

Sistem ekonomi sosialis ini berbeza dari sistem kapitalis.

Dalam sistem ekonomi sosialis yang diutamakan bukan untung tetapi perkhidmatan.

Dalam sistem ekonomi sosialis yang diutamakan ialah kebaikan ramai bukan keuntungan pribadi.

Dalam sisstem ekonomi sosialis pembangunan dilakukan bukan kerana ianya boleh mendapat untung – pembangunan dilakukan kerana ianya membawa manafaat untuk orang ramai.

Dalam sistem sosialis hospital percuma – kerana ianya baik untuk menjaga kesihatan semua warga. Hospital bukan untuk membuat untung tetapi memberi khidmat. Khidmat terbaik diberi bukan kerana si sakit kaya tetapi pesakit memerlukan khidmat itu.

Dalam sistem sosialis pembelajaran –sekolah/universiti – diberi percuma kerana ianya akan melahirkan warga yang berilmu. Ini perlaburan yang dananya dikeluarkan dari kantong negara. Pembelajaran bukan perniagaan. Pembelajaran ialah untuk mendidik warga berilmu. Warga yang berilmu akan berbudi dan berbahasa. Warga yang berilmu tidak membawa porak peranda.

Dalam sistem sosialis perumahan didirikan untuk semua. Membuat rumah kediaman bukan untuk mencari laba tetapi untuk memberi keselesaan kepada penduduk. Kenapa yang kaya perlu 4 bilik dan yang miskin duduk berhimpit-himpit?

Kalau dalam sistem ekonomi sosialis syarikat kapal terbang adalah milik negara. Harga tiket ke umrah atau ke mana sahaja akan dijual semurah mungkin. Bukan bermakna penjualanan tiket kapalterbang akan merugikan tetapi niatnya BUKAN untuk keuntungan maksima.

Untung yang didapati bukan akan masuk ke dalam poket individu pemegang saham. Dalam ekonomi sosialis pemegang saham ialah semua warga. Bottom Line sosialis bukan ringgit dan sen. Bottom Line sosialis ialah khidmat untuk orang ramai.

Nota:

Mereka yang menentang sistem sosialis kerana mereka tahu dalam sistem ini mereka tidak dapat melabor modal untuk memeras dan menindas kaum buruh.

Negara sosialis selalu di serang kerana kaum kapitalis tidak dapat membuat untung dan merompak harta kekayaan.

Negara sosialis diserang kerana punca-punca ekonomi negara – minyak, bijeh, sawit,emas, besi dan segala hasil bumi – tidak boleh dimiliki oleh Exxon, General Motors, IBM, Chevron, ITT, Douglas McDonald, City Bank atau HSBC.

Memang betul dan saheh di Cuba tidak ada MacDogal. Betul di Cuba tidak ada KFC. Betul di Cuba tidak ada Coca Cola.

Tetapi di Cuba – ada sistem perubatan awam yang terbaik dalam dunia. Ianya diberi percuma untuk semua warga.

Di Cuba ada sistem pembelajaran yang terbaik di dunia. Sekolah perubatan Cuba memberi kuliah percuma untuk pelajar dari negara-negara dunia ketiga termasuk dari Amerika.

Di Cuba ada sekolah sukan yang tebaik. Negara kecil yang penduduknya berjumlah 11,451,652 ini saban kali di sukan Olimpik akan mengondol berpuluh pingat emas – lebih dari India yang rakyat 1 bilion atau Saudi Arabia yang dikatakan kaya raya.

Fakta :

Paling menyedihkan ada gulungan yang menentang sistem sosialis ini bukan dari kaum kapitalis yang kaya raya tetapi dari mereka yang miskin papa kedana. Mereka ini di beri ajaran dan ditakut takutkan bahawa kaum sosialis ini tidak bertuhan.

Ini adalah hasil dari sistem pembelajaran kapitalis yang telah membuatkan orang-orang ini bebal – tidak dapat berfikir. Dalam sistem kapitalis amat-amat diperlukaan orang-orang bebal lagi bodoh agar mereka boleh terus menjadi buruh dan hamba tanpa memiliki ketinggian fikrah dan keupayaan intelek.

Sistem kapitalis ingin melahirkan kaum buruh yang setia, tidak berfikir dan tidak dibenarkan berpersatuan. Dalam sistem sosialis kesatuan buruh adalah rukun pertama.

Dalam sistem sosialis pembelajaran percuma tidak memungkinkan lahirnya orang –orang bebal. Kebebalan adalah musuh utama sosialisma.Kebebalan dan kebodohan akan dilawan hingga ke akar umbi.

Dalam sistem sosialis tidak akan timbul isu PPSMI – kerana dari segi keilmuan telah diketahui bahawa untuk mengajar satu- satu bahasa BUKAN melalui maths dan sains tetapi melalui sastera.

Hanya dalam sistem kapitalis wujudnya manusia bebal yang mencadangkan cara mempelajari satu-satu bahasa adalah melalui maths dan sains.

Hidup jangan jadi bebal. Fikirkan siapa yang tidak percaya kepada Yang Maha Esa – kaum sosialis atau Kapitalis Yang Menjual Gambar Kaabah?.

http://www.tukartiub.blogspot.com/

June 24, 2009 Posted by suarasaktii | Ekonomi | | No Comments Yet

Kegawatan ekonomi bakal melanda Malaysia

Mungkin ada diantara kita yang masih belum perasan atau terasa yang kini gelombang kegawatan ekonomi dunia semakin hari semakin menghampiri Malaysia. Cetusannya mula berlaku di negara kapitalis nombor satu dunia iaitu Amerika Syarikat. Bank-bank di Amerika kini sedang mengalami krisis kewangan yang hebat, syarikat-syarikat besar kapitalis di Amerika kini sudah banyak yang jatuh bangkrap dan nilai dollar serta mata wang utama dunia kini mula jatuh menjunam. Indeks-indeks pasaran saham dunia juga kini kian menjunam.

Arus ini akan merebak ke seluruh dunia terutama kepada negara yang bergantung ekonomi kapitalisnya dengan Amerika Syarikat termasuklah Malaysia. Mungkin dalam tempoh tiga atau enam bulan lagi gelombang itu pasti akan sampai ke Malaysia dan ramai penganalisis ekonomi dunia meramalkan yang krisis ekonomi yang bakal berlaku nanti lebih parah dari krisis ekonomi yang berlaku pada 1997 dan 1998 dahulu.

Pada 1997 dan 1998 dahulu Malaysia mengalami krisis ekonomi kerana kebodohan Nor Mohemad Yaccob yang memperdagangkan Ringgit Malaysia di pasaran dunia lantas diambil kesempatan oleh pedagang-pedagang mata wang dunia hingga menyebabkan kejatuhan nilai Ringgit dan inflasi melambung tinggi. Tetapi kini, krisis ekonomi yang bakal berlaku adalah disebabkan oleh kejatuhan ekonomi Amerika yang merupakan “ibu” segala kapitalis, sudah pastinya krisis yang bakal kita hadapi kelak adalah lebih teruk dari 1997/1998.

Inilah hukum kapitalis, setiap 10 tahun sekali mereka akan membenarkan kegawatan ekonomi ini berlaku demi mengimbangkan keuntungan mereka. Maka natijahnya nanti yang boleh kita lihat:-

  • Banyak kilang-kilang akan ditutup
  • Ramai rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan
  • Graduan yang telah dan akan menamatkan pelajaran akan gelap masa depannya
  • Penganguran akan meningkat dengan berlipat kali ganda
  • Jenayah kemanusiaan dan harta benda akan meningkat
  • NAJIB YANG JADI MENTERI KEWANGAN AKAN PENING KEPALA DAN MUNGKIN SUKAR UNTUK DIA MENJADI PM (Sebab tu Pak Lah lepas siap2 jawatan Menteri Kewangan kepada Najib sebab dia nak Najib tanggung semua ni)

October 5, 2008 Posted by suarasaktii | Ekonomi | | 1 Comment