Serangan Hendap Umno Waktu Pilihanraya Kecil

Pakatan Rakyat pada hari ini dilihat begitu asyik dan leka dengan kemenangan demi kemenangan yang mereka perolehi dalam setiap pilihanaraya kecil. Namun jika Pakatan Rakyat terus leka dan asyik dengan kemenangan demi kemenagan ini tidak mustahil mereka boleh menerima musibah yang lebih besar dari apa yang berlaku kepada Umno/Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya kecil.

Adakah kita sedar bahawa serangan untuk merampas negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat lebih hebat dan ganas dilakukan oleh Umno/Barisan Nasional pada setiap kali pilihanraya kecil bermula.

Sewaktu kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh sedang rancak berjalan, Umno/Barisan Nasional telah menggerakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) a.k.a Parti Komponen BN, untuk memerangkap dua Adun PKR dari Perak yang bermasalah. Tindakan ini adalah salah satu usaha mereka untuk merampas Perak dari Pakatan Rakyat. Usaha ini semestinya telah dirancang sebelum PRK Permatang Pauh lagi dan tindakan paling sesuai dilakukan adalah sewaktu kempen PKR Permatang Pauh sedang rancak berjalan.

Mengapa Umno/Barisan Nasional dilihat cuba melakukan serangan hendap sewaktu kempen pilihanraya kecil ini sedang berjalan? Salah satu faktor yang kita boleh nampak jelas ialah untuk memberi kredit kepada proses kempen Umno dalam pilihanaraya kecil tersebut. Keduanya yang ramai diantara kita tidak sedar, ialah kerana pada waktu ini ramai jentera serta pemimpin – pemimpin Pakatan Rakyat sedang lalai dan leka dengan pilihanraya kecil yang sedang berlangsung.

Misalnya sewaktu Pilihanaraya Kecil Permatang Pauh, boleh dikatakan seluruh jentera serta pemimpin Pakatan Rakyat dari seluruh Malaysia menumpukan perhatian mereka kepada pilihanraya kecil tersebut hingga mereka terlupa yang tindakan mereka itu boleh memakan diri. Maka situasi ini memberi ruang yang cukup selesa untuk Umno/Barisan Nasional melakukan serangan hendap. Maka diperangkap dua Adun PKR dari Perak yang bermasalah ini. Rentetan dari peristiwa itu membawa kepada kejatuhan Pakatan Rakyat di Perak.

Selepas PRK Permatang Pauh, berlaku pula PRK Kuala Terengganu yang berlangsung pada 17 Jan 2009 iaitu kurang sebulan sebelum Pakatan Rakyat di Perak tumbang iaitu pada 4 Feb 2009. Namun Umno/Barisan Nasional pada waktu itu sedang menumpukan perhatian penuh dalam proses untuk mendapatkan Perak. Ramai pemimpin – pemimpin Pakatan Rakyat masih belum terhidukan gerakan yang sedang rancak dilakukan oleh Umno/Barisan Nasional pada waktu itu kerana perhatian mereka tertumpu ke Kuala Terangganu. Natijahnya tidak sampai sebulan selepas itu Pakatan Rakyat di Perak tumbang.

Selepas kejatuhan Pakatan Rakyat di Perak berlaku 3 pilihanraya kecil serentak iaitu PRK Bukit Gantang, PRK Bukit Selambau dan PKR Batang Ai. Umno/Barisan Nasional pada waktu itu dilihat mahu meredakan kemarahan rakyat khususnya rakyat di Perak dan gerakan merampas negeri Pakatan Rakyat seterusnya terpaksa diperlahankan.

Namun tidak berapa lama selepas itu, mereka cuba mengatur serangan untuk merampas Pulau Pinang. Kali ini dengan memerangkap bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Fairuz, yang merupakan Adun Penanti. Namun ianya cepat dihidu oleh Anwar Ibrahim dan mengarahkan Fairuz meletak jawatan dan diadakan pilihanraya kecil DUN Penanti. Tersentak dengan perletakan jawatan Fairuz, niat Umno untuk menganggu Pulau Pinang terus terbantut dan boleh dikatakan selepas itu Pulau Pinang adalah antara negeri yang paling sukar untuk Umno melakukan rampasan kuasa.

Sasaran mereka seterusnya adalah Kedah. Usaha terancang untuk merampas Kedah boleh dikatakan berlaku serentak dengan Perak. Namun tumpuan Umno/Barisan Nasional lebih kepada Perak kerana majoriti Pakatan Rakyat di Perak pada waktu itu agak tipis. Usaha untuk merampas Kedah pada waktu itu terpaksa diperlahankan dan serangan ganas tidak boleh dilakukan secara terang – terangan kerana pada waktu mula timbul tentang isu kerajaan perpaduan.

Umno khususnya agak terpesona dengan idea kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Hadi Awang. Pas adalah Parti dari Pakatan Rakyat yang memerintah Kedah. Umno melihat ada tanda-tanda PAS akan bekerja sama dengan mereka melalui kerajaan perpaduan maka mereka tidak boleh menggunakan cara seperti mana mereka merampas Perak kerana bimbang PAS akan membatalkan niat kerajaan perpaduan tersebut. Namun usaha untuk menarik keluar adun-adun Pakatan Rakyat di Kedah khususnya dari PKR terus berjalan secara sulit.

Akhirnya kerajaan perpaduan tidak menjadi kenyataan, Umno menanggung malu dengan umpanan kerajaan perpaduan yang dicanang Pas.  Tidak berapa lama selepas itu berlaku pula pilihanraya raya kecil Manek Urai dan ramai tidak menyedari proses menjatuhkan Pakatan Rakyat di Kedah rancak berjalan sewaktu proses kempen PRK Manek Urai. Di mana Najib sewaktu kempen PRK Manek Urai?

Ramai yang mengatakan Najib takut untuk turun ke Manek Urai kerana bimbang disambut dengan laungan Altantuya. Tetapi Najib pada waktu itu telah turun ke Kedah bagi mengatur strategi untuk merampas Kedah. Usaha tersebut terus berjalan dan telah ada beberapa adun dari PKR telah dikatakan bersedia untuk melompat parti.

Sedang usaha ini rancak berjalan, berlaku pula Pilihanraya Kecil Permatang Pasir.  Najin juga tidak muncul di Permatang Pasir, hanya Muhsyiddin Yassin berseorangan tempang bersilat di Permatang Pasir. Umno merancang untuk menjatuhkan Kedah sewaktu kempen PRK Permatang Pasir sedang rancak berjalan.

Najib sudah berani menjamin yang beberapa adun pakatan rakyat Kedah sudah bersedia untuk melompat parti, namum hingga tinggal lagi 2 hari sebelum proses pengundian PRK Permatang Pasir berlangsung adun-adun tadi seakan dilihat tidak berminat untuk melompat parti dan adun lunas melakukan tindakan Kamikaze dengan membuat keputusan meninggal PKR secara perseorangan. Umno mengharapkan akan ada adun lain dari Kedah akan menyusul namum ianya tidak berlaku.

Tindakan pantas pemimpin pakatan rakyat menyebabkan Kedah terselamat seketika, sedangkan Kedah sebenarnya pada waktu itu sedang berada dalam keadaan cukup genting sekali.

Kini akan berlangsung pula PRK Bagan Pinang di Negeri Sembilan. Jika Pakatan Rakyat terus lalai dan leka dengan mengejar kemenangan dalam pilihanraya kecil itu nanti mungkin serangan hendap oleh Umno/Barisan Nasional akan dilakukan. Jangan nanti kita menang satu kawasan Dewan Undangan Negeri tetapi kita terlepas satu negeri.

p/s saya tidak menyebut tentang usaha Umno/Barisan Nasional untuk merampas Selangor kerana saya kira budak sekolah menengah pun boleh faham dan nampak apa yang dilakukan oleh Umno/Barisan Nasional untuk merampas Selangor.

Leave a comment